Kumpulan Karangkraf ialah sebuah syarikat penerbitan, percetakan, dan pengedaran majalah, buku, dan bahan bercetak di Asia Tenggara. Pada hari ini, kumpulan syarikat ini ialah penerbit majalah bahasa Melayu yang terbesar di Malaysia, dengan 30 judul diterbitkannya.[1] Kedudukannya sebagai penerbit utama diperkukuh lagi pada 2006 dengan pelancaran Sinar Harian, akhbar bahasa Melayu yang merupakan satu-satunya akhbar pelbagai edisi yang mengkhususkan wilayah di Semenanjung Malaysia.
Pasaran dalan bahan bacaan bahasa Melayu yang menggalakkan mendorong kepada peningkatan judul yang diperkenalkan oleh Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. yang ketika itu terletak di Taman Tun Dr Ismail dan Jalan Penchala, Petaling Jaya, Selangor. Pada penghujung 2002 Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. telah berpindah ke kompleks barunya di Shah Alam, Selangor yang dikenali sebagai kompleks Karangkraf. Bangunan berwarna ungu ini terletak di atas tapak seluas 12.5 ekar yang menempatkan kesemua operasi Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd di bawah satu bumbung.
Sehingga 2008, Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. telah menerbitkan sejumlah 29 judul terbitan cetak. Pada 2010, Karangkraf mempunyai lebih 1,400 orang kakitangan di seluruh Malaysia.